Tuesday 10 November 2015

Peka Isu Perlindungan Kanak-Kanak


 



Kes penganiayaan kanak-kanak sering berlaku sejak akhir-akhir ini dan ianya sering menjadi tajuk utama media massa. Berbagai cara penganiayaan dilakukan terhadap kanak-kanak, sedangkan kanak-kanak perlu diberi perlindungan dan kasih sayang.

Kes penganiayaan kanak-kanak seperti pembuangan bayi, penderaan, penculikan, pengabaian dan eksploitasi, adalah masalah yang serius dan melibatkan masa depan negara kerana kanak-kanaklah yang akan menjadi pelapis negara pada masa akan datang.

Kanak-kanak adalah insan yang mengharapkan kasih sayang dan perhatian.Namun, impian ini telah dimusnahkan melalui penganiayaan sehingga menjadikan jiwa mereka rosak, memendam perasaan dan tidak puas hati.

Malah, apabila jiwa mereka dirosakkan sejak kecil dan tidak dicegah, apakah yang akan terjadi seterusnya jika mereka tidak diberikan hak perlindungan? Bilakah masalah mereka ini akan selesai dan siapakah yang akan membela dan memberikan perlindungan kepada mereka?

 
Peka Isu Perlindungan Kanak-Kanak

Isu mengenai kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi kesedaran bermusim. Ia sepatutnya menjadi kesedaran dan kewaspadaan sepanjang masa. Sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap keselamatan kanak-kanak terutamanya dalam kalangan ibu-bapa atau penjaga kanak-kanak penting supaya pergerakan anak-anak sentiasa berada dalam pengetahuan dan dipantau bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa kepada penjenayah.
Statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan kes penderaan fizikal kanak-kanak meningkat. Pada tahun 2010 sebanyak 3,257 kes direkodkan dan angka ini meningkat dua tahun berikutnya, iaitu 2011 sebanyak 3,428 dan bagi 2012 pula sebanyak 3,831 kes.

Akta Kanak-Kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Mereka adalah golongan yang memerlukan penjagaan yang sempurna serta persekitaran yang selamat dan kondusif. Kanak-kanak perlu dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, keganasan, pengabaian dan sebarang bentuk eksploitasi. Dalam konteks ini, semua pihak harus memahami bahawa usaha melindungi kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama oleh seluruh anggota masyarakat.

Berikut dikongsikan beberapa link berkaitan perlindungan kanak-kanak:


http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=dasar_perlindungan_kanak-kanak_negara&lang=bm

http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=pasukan_perlindungan_kanak-kanak_ppkk_dan_pusat_aktiviti_kanak-kanak_pakk&lang=bm

http://www.unicef.org/malaysia/msl/protection_5203.html

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/undang-undang-perlindungan-kanak-kanak-perlu-utamakan-kebajikan-mereka-37210

No comments:

Post a Comment